::Perihal Silat... Silat Gayong, Seni Bela Diri dan Perisai Orang Melayu!...:::







Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu sebagai perisai diri. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi.

Bermula dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni pertempuran ini diperhalusi lagi dan dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit (abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.

Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat.

Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana Hang Tuah (Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa (Majapahit).

Untuk menyempurnakan ilmu silat pengamal mestilah menghayati falsafah yang terkandung di dalam ilmu tersebut. Pada zaman dulu hampir kesemua orang mengamalkan silat. Tetapi cuma beberapa yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi mampu mencapai tahap ini.

Pada zaman ini wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri. Tetapi umumnya asas silat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'. Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan.

Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya mengajar buah, contohnya seperti Silat Cekak. Anak muridnya dikehendaki berdiri tegak menghadapi lawan, pukul balas digunakan hanya ketika diserang dan itupun apabila pukulan sudah berada seinci dua dari badan.

Seni Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Beliau bersama-sama dengan enam saudaranya bermastautin di Tanah Melayu di mana segala ilmu persilatan diturunkan kepada keturunannya.

Pada masa ini pecahan ilmu tersebut boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai perguruan gayong di Malaysia seperti Gayong Patani dan Gayong Pesaka. Tapi yang paling utama ialah Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diasaskan oleh Dato' Meor Rahman, cucu kepada Daeng Kuning yang digelar 'Mahaguru' oleh penuntut silat gayong. Antara mereka yang pernah mengamalkan silat gayong ialah allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman dan Dato' Maharaja Lela.


Maksud Disebalik Perkataan Gayong

Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.

Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.

Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:


Ga - Genggam
Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.

Alif - Angkat
Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.

Ya - Yakin
Yakin kepada kebolehan diri sendiri

Wau - Waras
Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri
Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.



Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam.

Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.




Cita-Cita Dan Dasar Silat Gayong

Seni silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Penekanan pembelajaran silat seni dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah S.W.T. dalam Surah Ar-Ra'd supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dengan kadar kekuatan yang termampu. Ini merupakan cita-cita dan dasar utama Silat Seni Gayong yang meletakkan agama di tempat yang Maha Tinggi.


Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua telah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam. Hakikat ini dinilai melalui coretan sejarah negara kita yang pada suatu ketika dahulu dijajah oleh kuasa asing. Pergerakan para pahlawan Silat Seni Gayong seperti allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tuk Zainal, Dato' Maharaja Lela dan ramai lagi pejuang kemerdekaan tanahair telah berjaya membataskan penguasaan pihak penjajah dalam politik dan sosio-budaya penduduk tempatan.

Pejuang kemerdekaan tanahair tersebut merupakan pemimpin agama yang lazimnya menjadi teras kepimpinan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu. Mereka dimuliakan dan disanjungi bukan semata-mata keilmuan tinggi dalam bidang keagamaan, bahkan semangat perjuangan dan sifat kependekaran yang dimiliki beserta sikap yang tegas dalam menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

Kini Silat Seni Gayong ialah satu warisan bangsa yang diajar kepada waris generasi sebagai alat pendidikan dan pembentukan disiplin dalam rangka menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara. Ia mestilah dipelihara agar bangsa kita dapat menghargai warisan nenek moyang dan seterusnya menghayati makna sebenar sebuah kemerdekaan.

Namun begitu, cita-cita dan dasar asal pergerakan Silat Seni Gayong tidak harus luput ditelan perubahan. Ia mesti terus dan sentiasa dipupuk dalam jiwa anak-anak gayong agar segala apa yang diperjuangkan akan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah S.W.T.


Makna Lambang Silat Gayong


Lambang atau logo Silat Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu.

BULAN DAN BINTANG
Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.


BUMI
Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.


BEJANA AIR
Simbolik kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.


HARIMAU
Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.


NAGA
Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga merupakan simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.


KERIS BERSILANG
Simbolik kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.


PEDANG BERMATA DUA
Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.


HITAM CHULA VII
Melambangkan Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewengkan.



                                                                                                                                            Sumber

0 Response to "::Perihal Silat... Silat Gayong, Seni Bela Diri dan Perisai Orang Melayu!...:::"

Posting Komentar