Sejarah Cik Wan Kembang .....






*Nama asal Cik Wan Kembang
*Kematian ayah sejak usia empat tahun
*Raja Kelantan ke enam dari keturunan Sultan Iskandar Shah
*Menjadi raja dalam usia 30 tahun pada 1610
*Pusat pemerintahan, Gunung Chinta Wangsa dan Kota Tegayong
*Tidak berkahwin dan menjadikan Puteri Saadong sebagai anak angkatnya
*Binatang kesayangan adalah kijang dan menjadikan binatang itu sebagai lambang negeri
*Memerintah Kelantan selama 67 tahun


Wanita pertama perintah sebuah negeri selama 67 tahun bermula 1610 tidak pernah berkahwin

RAMAI pasti terpinga-pinga atau menggelengkan kepala jika ditanya siapakah Cik Wan Kembang.


Namun bila disebut Cik Siti Wan Kembang, orang pasti mengaitkan nama wanita itu dengan Kelantan hingga menjadi antara nama timangan negeri berkenaan yang turut bergelar Serambi Makkah.

Berdasarkan catatan sejarah, nama sebenar raja keenam memerintah Kelantan dari keturunan Iskandar Shah itu ialah Cik Wan Kembang, yang diberikan ayahandanya, Sultan Ahmad.

Berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan, karangan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, gelaran "Siti" diberikan seorang pedagang Arab yang membahasakan Cik Wan Kembang dengan "Siti".

Ketika mengadap dan berbual dengan Cik Wan Kembang, orang Arab itu membahasakan beliau dengan "Siti" dan panggilan "Siti" itu didengar beberapa orang yang berada di balai mengadap.

Lalu seorang daripada kumpulan itu bertanya apakah erti "Siti" sebelum dijawab pedagang Arab, yang Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai.

Terdapat juga sumber sejarah menyatakan beliau turut digelar panggilan Paduka Cik Siti.

Buku sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid, terbitan Pustaka Al-Ahliah (1962), Siti bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri.

Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang ayah yang mangkat menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan diambil alih Raja Husin.



Sejarah Pemerintahan

Sejarah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Kelantan bermula pada 1610. Berdasarkan sumber sejarah tempatan, dalam usia 30 tahun, beliau dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin.

Beliau bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chintawangsa, terletak kira-kira 40 kilometer di tenggara Kuala Krai. Nama gunung itu kekal hingga kini.

Sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar terutama Arab dan China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang terkenal.


Walaupun seorang wanita, sebagai pemerintah, Cik Siti Wan Kembang bijak mengatur langkah memastikan negeri di bawah penguasaannya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Kerana bimbangkan pemerintahan di Gunung Chintawangsa akan diserang, beliau merancang pembinaan sebuah kota pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat pemerintahan saja.

Beliau membuat keputusan meninggalkan Gunung Chintawangsa. Dalam pencarian kawasan baru itu, beliau sampai ke hutan yang dipenuhi pokok tegayong. Di situ, beliau membuka Kota Tegayong.

Di kota pentadbiran baru itu, beliau membina sebuah taman bunga sebagai tempat bermain dan bersuka ria yang dinamakan dengan Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong, yang kini terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh.

Apabila nama Cik Siti Wan Kembang mula terkenal, rakyatnya yang mendiami Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri, kini Hulu Kelantan), membawa pelbagai persembahan untuk beliau.

Antara persembahan itu ialah seekor anak kijang cantik yang amat dikasihinya. Kerana terlalu sayangkan kijang itu, Cik Siti Wan Kembang menerapkan lambang kijang pada wang emas negeri selain diabadikan pada sebahagian lambang kebesaran Kelantan yang kekal hingga kini.

Kecantikan & Keperawanan

Di sebalik kecantikannya, Cik Siti Wan Kembang tidak bersuami walaupun ramai raja dan anak raja datang meminangnya. Ramai ditolak Cik Siti Wan Kembang dengan alasan tidak terlintas dihatinya untuk bersuami.

Lama kelamaan, keadaan itu membuatkan Cik Siti Wan Kembang berasa kesunyian hidup sendirian. Apabila melihat Puteri Saadong, (Puteri Raja Loyor) ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, timbul hasrat mengambil puteri itu sebagai anak angkatnya.

Rundingan di antara Raja Loyor dan permaisurinya berakhir dengan kerelaan mereka menyerahkan Puteri Saadong untuk dijaga Cik Siti Wan Kembang.

Puteri Saadong adalah seorang gadis ayu serta cantik dan digelar penduduk Gunung Chintawangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu sampai kepada pengetahuan maharaja Siam yang menghantar utusan meminangnya tetapi ditolak Cik Siti Wan Kembang.

Menyedari Raja Siam akan menimbulkan masalah berikutan penolakan lamaran itu, Cik Siti Wan Kembang mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah (sepupunya) dari Jembal sebelum dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudian berpindah ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Sejarah Cik Siti Wan Kembang berakhir apabila beliau melantik Raja Abdullah dan Puteri Saadong sebagai pemerintah Kelantan.

Selepas pelantikan itu, Cik Siti Wan Kembang kembali semula ke Gunong Chintawangsa, kota pemerintahan awalnya dan selepas itu kisahnya tidak diketahui lagi.

Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan selama 67 tahun, antara 1610 dan 1677 dengan dua pusat pemerintahan iaitu Kota Tegayong dan Gunung Chintawangsa.

0 Response to "Sejarah Cik Wan Kembang ....."

Posting Komentar