Masyarakat Melayu Dan Ilmu Peperangan Bahagian 1




Tamadun Melayu mempunyai keunikan yang tersendiri yang mana tidak terdapat di tamadun-tamadun barat. Walaupun kepulauan Melayu dekat dengan tamadun yang besar dan hebat seperti China, dan India namun demikian tidak kesemua aspek kehidupan masyarakatnya dipengaruhi daripada kedua-dua buah tamadun ini dan perkara ini termasuklah dalam hal-hal berkaitan ilmu peperangan. Tamadun Melayu sejak sebelum kedatangan para pengembara dan pedagang dari India dan China yang membawa cara hidup, teknologi dan agama mereka lagi telah mempunyai kebudayaan, cara hidup dan tradisi local genius mereka yang tersendiri. Hal ini diakui sendiri oleh para pengembara dan pedagang daripada India dan China yang datang pada awal era kegemilangan tamadun Melayu.

Sebelum membincangkan lebih jauh mengenai ilmu peperangan masyarakat Melayu, adalah patut sekiranya diperjelaskan mengenai apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Melayu dan tamadun Melayu itu. Melayu yang dimaksudkan di sini adalah dalam konteks yang lebih luas iaitu merangkumi kawasan geografi meliputi seluruh kepulauan Melayu atau Nusantara iaitu semenanjung tanah Melayu, Sumatera, Kalimantan, kepulauan Jawa, Maluku, Filipina, selatan Thailand, kepulauan Andaman selatan Kemboja, selatan Vietnam sehinggalah ke Madagaskar. Rumpun Melayu adalah terdiri daripada kategori rumpun Austronesia atau Malayo-polinesia. Karakteristik yang paling ketara yang terdapat dalam rumpun ini adalah persamaan daripada segi budaya dan rumpun bahasa mereka. Alfred Russel Wallace, mengkategorikan kaum Melayu sebagai antara kaum terpenting di kepulauan Melayu atau Nusantara. Beliau menganggap kaum Melayu sebagai The Most Civilized dan paling banyak membuat perhubungan dengan orang-orang Eropah dan mendapat tempat dalam sejarah dunia. 

Menurut beliau lagi apa yang boleh dikategorikan sebagai Melayu sebenar adalah terbahagi kepada 4 kumpulan iaitu Melayu yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan sepanjang pantat timur, selatan dan barat pulau Borneo. Kumpulan kedua ialah suku Melayu Jawa yang tinggal di kepulauan Jawa, sebahagain daripada selatan Sumatra, Lombok, bali, dan Madura. Kumpulan ketiga pula adalah suku Melayu Bugis yang tinggal di kepulalaun Sulawesi dan Sumbawa. Manakala suku yang keempat yang dikatakan sebagai the four great race of Malay ialah suku Tagalas yang terdapat di kepulauan Filipina.Ini termasuklah suku Maranau atau Maguindanau yang terdapat di selatannya. Suku kaum seperti batak, Dayak, dan jakun dianggap sebagai puak Melayu yang tidak bertamadun atau savage. Kenyataan yang dibuat oleh beliau ini adalah sesuatu yang amat menarik. Beliau mengakui bahawa bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang bertamadun dan mempunyai tempat dalam sejarah.Sebagai sebuah bangsa yang bertamadun dan mempunyai sejarah yang panjang adalah mustahil sekiranya bangsa ini tidak mempunyai tradisi keilmuan dalam konteks ilmu perang dan ketenteraan.

Walaupun masyarakat Melayu telah terjajah sejak 1511 lagi dengan silih berganti oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudian Inggeris semula, namun ini bukan berati ia sebuah bangsa yang senantiasa mengalami kekalahan di dalam peperangan dan memiliki aktiviti peperangan yang tidak baik. Sejarah bangsa Melayu telah membuktikan bahawa mahupun dalam pra-kolonial, era penjajahan dan pemerintahan yang silih berganti diwarnakan sebelum dan selepasnya dengan banyak peristiwa-peristiwa konflik bersenjata di peringkat setempat ataupun antarabangsa. Bagi membincangkan mengenai ilmu perang melayu, tidak lengkap jika kita tidak menyentuh mengenai silat. Namun begitu dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh panjang lebar kerana telah banyak blog-blog yang  khusus menceritakan tentang silat baik inggeris, melayu atau indonesia sehinggakan ia menjadi agak klise. oleh itu saya menyentuh hal-hal penting sahaja.

Silat: Seni Mempertahankan Diri Bangsa Melayu.
-->

Perkataan silat adalah lebih masyhur digunakan di seluruh Malaysia dan juga Brunei. Sebutan selain daripada itu turut digunakan mengikut sesuatu daerah yang berlainan dan membawa makna yang lebih khusus. Misalnya perkataan ‘Gayung’ secara umumnya digunakan oleh masyarakat Melayu di daerah utara semenanjung Tanah Melayu di mana perkataan silat itu digugurkan dan hanya gayung disebut. Perkataan Gayung secara khususnya bermaksud amalan kerohanian yang terdapat dalam silat. Perkataan ‘Pencak’ pula lebih lumrah digunakan di Indonesia khususnya dalam masyarakat Jawa. Dipercayai bahawa pencak adalah daripada perkataan Panca atau Manca dalam sebutan orang Melayu Minangkabau yang membawa makna pelajaran silat Langkah atau Sembilan. Silat adalah satu seni tempur yang di dalamnya terdapat teknik serang dan bela diri sama ada dengan senjata atau tanpa senjata. Perkataan ‘Kali atau Basilat’ pula digunakan oleh masyarakat Melayu Filipina yang mengembangkan kemahiran senjata tongkat dari kayu atau rotan.

Satu teori menyatakan bahawa perkataan silat itu sendiri berasal dari kata silek dari bahasa Minangkabau. Silek adalah salah satu komponen untuk menyembahkan tarian rakyat yakni randai Minangkabau disertai dengan bakaba atau pereka cerita dan saluang jo dendang iaitu lagu dan seruling. Merujuk pada buku Filsafat dan Silsilah Aliran-Aliran Silat Minangkabau, maka dapat diketahui bahawa pengasas ilmu Silat Minangkabau adalah Datuak Suri Dirajo yang dianggarkan wujud pada tahun 1119 Masehi di daerah Pariangan, Padang panjang, Minangkabau. Lebih lanjut dihuraikan oleh penulis bahawa pengawal dari Datuak Suri Dirajo ini adalah Kambiang Utan yang berasal dari Kemboja, Harimau Campo dari berasal dari Champa, Kuciang Siam datang dari daerah Siam atau Thailand dan Anjiang Mualim datang dari Parsi.

Pada umumnya perkataan Silat atau Gayung biasa digunakan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau Silek dan Gayuang di Sumatera, Pencak dan Maempok di Jawa Barat, Pencak di Jawa Timur dan Jawa Tengah, Mancak di Madura dan Bawean, Encak di Bali, Mpaa Sila di Dompu dan Nusa Tenggara Barat, Bermancek di Bulungan dan Kalimantan, memencak di Bugis dan Sulawesi, Akmencak di Sulu dan Sulawesi , Basilat dan Kali di Mindanau.Silat dianggarkan menyebar di kepulauan Nusantara semenjak abad ke 7 Masihi lagi , namun begitu asal permulaannya belum dapat dipastikan. Meskipun demikian, silat pada masa ini telah diakui sebagai budaya suku Melayu dalam pengertian yang luas, iaitu para penduduk daerah pesisir pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, serta berbagai kelompok etnik lainnya yang menggunakan lingua franca bahasa Melayu di berbagai daerah di pulau-pulau Jawa, Bali, Kalimantan, Sulawesi, dan lain-lainnya juga mengembangkan sebentuk silat tradisional mereka sendiri. Dalam Bahasa Minangkabau, silat itu sama dengan silat atau silek. 

Terdapat pengaruh ilmu bela diri dari China dan India dalam silat. Bahkan tidak hanya berakhir di situ sahaja. Hal ini dimaklumi kerana memang kebudayaan Melayu termasuk Silat adalah kebudayaan yang terbuka yang mana sejak awal kewujudannya lagi, kebudayaan Melayu telah beradaptasi, asimilasi dan akomodasi dengan berbagai kebudayaan yang dibawa oleh pedagang mahupun perantau dari India, Cina, Arab, Turki, dan lain-lain. Kebudayaan-kebudayaan itu kemudian berasimilasi dan beradaptasi dengan kebudayaan penduduk asli Melayu. Maka dapat disimpulkan bahawa sejarah silat itu lahir bersamaan dengan munculnya kebudayaan Melayu itu sendiri kerana ia tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Silat adalah salah satu unsur penting dalam kebudayaan Melayu. Sehinggakan, setiap daerah secara umumnya memiliki tokoh persilatan yang selalu dibangga-banggakan. Sebagai contohnya, suku Melayu terutama di Semenanjung Melaka atau Tanah Melayu amat percaya dengan legenda bahawa Hang Tuah dari abad ke-14 adalah pendekar silat yang terhebat. Hal seperti itu juga yang terjadi di Jawa, yang mengangkat Patih Gajah Mada sebagai tokoh silat dan politik hebat.

Silat wujud dalam masyarakat Melayu Champa atau selatan Vietnam sekitar 2000 tahun dahulu dengan penemuan Keris tembaga di daerah tersebut dan lukisan di Candi Borobudur di Tanah Jawa. Panglima Champa kerap mendapat tempat dan dimuliakan oleh raja-raja Melayu kerana memiliki pengetahuan dalam silat dan mahir dalam ilmu perang. Dapat memperlihatkan dari aspek pengkajian akademik bahawa silat telah kukuh dalam masyarakat Melayu sejak 2000 tahun lampau. Kerajaan Funan dan Champa merupakan dua kerajaan yang berjiran dalam kelompok dan zaman yang sama. Tetapi di abad yang sama, kerajaan Champa yang berjiran dengan China kerap berperang tanpa mahu tunduk kepada China dan Annam atau Vietnam utara yang menjadi sebahagian daripada China.silat pernah diletakkan di bawah perlindungan istana untuk membentuk angkatan perang Raja. Raja-raja Melayu menggalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang. Pendekar yag handal diangkat mengepalai angkatan perang dan mendapat kurnia dan darjat daripada Raja. Di dalam Sejarah Melayu ada menceritakan bahawa Sultan Muhammad Shah telah memilih seorang pegawai dari Champa sebagai pegawai kanan Istana kerana orang Champa dikatakan memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam pemerintahan negeri. 


Silat bukan sahaja merupakan satu keperluan untuk mempertahankan diri, tetapi silat merupakan lambang keperibadian bangsa dan seni budaya ketamadunan Melayu yang sudah sebati dalam jatuh bangun kerajaan Melayu sepanjang zaman dan bersama-sama mengacapi pahit manis memperjuangkan dan menegakkan kedaulatan bangsa Melayu. Sehinggalah kurun ke sembilan belas, sejarah telah memperlihatkan pendidikan silat terus berkembang dan berjaya mewujudkan pemimpin dan pahlawan perang Melayu yang gigih menentang penjajah seperti Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Dato’ Sagor, Tok Janggut, Raja Haji, Mat Salleh dan sebagainya. Pada zaman komunis atau darurat pula memperlihatkan tokoh-tokoh seperti Kiai Salleh, Kiai Osman, Kiai Shamsuddin yang menubuhkan pasukan Selempang Merah, Hj Abbas dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa silat tidak ketandusan pemimpin yang terus memugar dan menanam semangat cintakan tanah air dan berjuang hingga ke titis darah yang terakhir. Kehebatan mereka mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan ilmu persilatan di samping ilmu-ilmu lain yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan dan digeruni lawan.Sekian dahulu. Nantikan sambungan kajian saya mengenai ilmu perang bangsa Melayu.



bibliografi;
A Samad Ahmad, Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu)
Sheikh Shamsuddin, The Malay Art Of Self-defense: Silat Seni Gayong
Abd. Rahman Ismail, 2008, Seni SIlat Melayu
O'Ong Maryono, Pencak Silat Merentang Waktu
dan lain-lain kajian lisan dan persendirian.



0 Response to "Masyarakat Melayu Dan Ilmu Peperangan Bahagian 1"

Posting Komentar